Isnin, 5 April 2010

Sektor pertanian diberikan tumpuan








Oleh: WADIASSOFI JAAFAR

ALOR SETAR, 4 April:

Sektor pertanian akan diberikan tumpuan selaras dengan hala tuju Kerajaan Negeri dalam usaha meningkatkan pertumbuhan ekonomi di negeri ini.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Tetap Industri dan Pelaburan, Pertanian dan Industri Asas Tani serta Bioteknologi, YB. Dato’ Ir. Haji Amiruddin Hamzah, keluasan padi di negeri Kedah ialah 40,000 hektar di kawasan luar Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA).




“Di samping itu, nenas merupakan satu tanaman yang cukup besar yang berpotensi untuk dimajukan di mana hampir 2,000 hektar tanah sudah ditanam dengan nenas dan kita akan memperluaskan penanaman nenas kepada 4,000 hektar pada tahun 2015,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada majlis menandatangani Perjanjian Usahasama Projek Kumpulan Kedah Agro di Wisma Darul Aman, di sini.

Amiruddin berkata, kilang mengetin jagung manis akan dibina di Bukit Tangga dengan kerjasama Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang.

“Pengimportan daging dan tenusu perlu dikurangkan dan kita juga akan menternak ikan tilapia di Tasik Pedu serta beberapa syarikat turut membentangkan kertas kerja untuk zon industri akuakultur di Langkawi dan kita akan mendapatkan benih yang terbaik untuk tujuan itu,” katanya.

Tambahnya, projek ternakan ikan keli yang dijalankan di Sungai Pau, Sik adalah antara projek perintis yang mampu memberikan pulangan yang terbaik.

“Kita ingin melibatkan rakyat di dalam setiap program-program yang dilaksanakan dan kita akan memastikan program itu dapat dijayakan dengan sepenuhnya,” jelasnya.

Tiada ulasan: