Rabu, 7 April 2010

KEDA suruh roboh rumah tapi tarik balik bantuan rumah PPR






Oleh: ZULKIFLI YAHAYA

Di zaman BN menerajui kerajaan, Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (Keda) tidaklah begitu menonjol. Keda berada di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar.

Namun apabila BN hilang kuasa di Kedah, Keda tiba-tiba menjadi sebuah ‘kerajaan bayangan’ di negeri ini. Menterinya adalah Pengerusi Perhubungan Umno Kedah manakala Pengerusi Keda adalah Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno. Betullah, gandingan mereka berdua dalam Keda menjadikan Keda adalah ‘kerajaan kedua’ di Kedah seleps kerajaan yang dipilih oleh rakyat secara sah.

Baru-baru ini Datuk Shafie Afdhal mengarahkan Keda menangani isu air di Kedah kerana kononnya kerajaan negeri gagal menguruskan air dengan baik. Dakwaan kononnya kerajaan negeri gagal menguruskan air adalah propaganda politik, tetapi mengarahkan Keda menangani isu air menunjukkan dia adalah seorang menteri yang tidak faham bidang tanggungjawab Pusat dan negeri.

Kata Dato’ Ismail Kamus, “bila buka mulut nak bercakap nampak macam tak tau apa-apa tapi bila bercakap ‘confirm’ bangang.” Ucapan Dato’ Ismail tidaklah ditujukan kepada Shafie, tapi maksudnya lebih kurang begitulah. Dia menteri yang jaga Keda tapi tidak tahu bahawa tugas Keda bukan uruskan bekalan air.

Sekalipun hari ini Keda nampak macam sibuk uruskan kebajikan rakyat tetapi bukan semua rakyat susah mendapat manfaat. Keda tetap macam perangai kerajaan BN di mana-mana iaitu ‘penyokong BN didahulukan, bukan BN diketepikan’.

Penempatan Keda dibuat kononnya untuk memberi rumah kepada golongan miskin tetapi permohonan untuk mendudukinya mesti mendapat sokongan Ketua Umno Bahagian.

Tidak ada seorang pun ahli PAS yang terlepas masuk kepenempatan Keda.

Jika ada, mungkin kerana kecekapannya menyamar atau keinsafan datang kemudian. Hari ini apabila BN menjadi pembangkang di peringkat negeri, Keda semakin menyerlahkan ketidakadilannya.

Seorang penduduk di Kampung Teluk Yan, Alor Setar, Ahmad Sobri Mat Rautin membuat permohonan mendapatkan rumah Keda. Beliau gembira kerana permohonannya diluluskan dan rumah baru tersebut akan dibina di atas tapak rumah uzur yang sedang didudukinya.

Sobri akur dengan kehendak kontraktor yang meminta dia merobohkan rumah asal tersebut untuk dibina rumah baru pemberian Keda. Rumah itu dirobohkan dan terpaksa menumpang sementara di rumah saudaranya.

Malangnya kontraktor kemudiannya menyampaikan berita sedih bahawa Pengerusi Keda Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah membatalkan projek tersebut.

Mudah sungguh dia membatalkan projek yang diperuntukkan kepada orang miskin seolah-olah orang miskin bukan jenis manusia.Setelah siasatan dilakukan barulah diketahui sebabnya, iaitu Ahmad Bashah tidak mahu bantuan Keda dihulurkan kepada bukan penyokong Umno.

Bagi tuan rumah, dia tidak peduli apa pun syarat yang kenakan Keda tapi kesal mengapa pembatalan dibuat setelah rumah asalnya dirobohkan.

Bukankah ini suatu kezaliman? Sekarang dia sudah tiada rumah sendiri untuk berteduh. Keda boleh memilih untuk tidak menolong dari awal, sekurang-kurangnya orang itu ada rumah untuk berteduh sekalipun uzur.

Tetapi memilih untuk menzalimi manusia lain asalkan nafsu serakah politik dapat dipuaskan.

Nasib yang sama dialami oleh seorang penduduk yang membuat permohonan rumah Keda di Kampung Alor Semela. Dia sudah menyediakan tapak dan gembira kerana permohonannya diluluskan Keda.

Seorang JKKP di kampung tersebut memberitahu pihak Keda bahawa pemohon tersebut bukan orang Umno, maka pemberian tersebut ditarik balik.Jawapan yang diberikan oleh pemimpin BN dalam isu-isu seperti ini mudah diduga, biasa dan berulang-ulang. “Hangpa sokong PAS pi laa minta dekat kerajaan PAS.”

Tiada ulasan: