Selasa, 6 April 2010

MAIK tak 'main politik', nafi paksa imam bersara

Jabatan Agama Islam Kedah (MAIK) tidak pernah "bermain politik" dengan memaksa penjawat masjid - termasuk imam, bilal dan siak - di negeri itu mengisi borang persaraan (M4) sukarela.

NONEYang dipertua Majlis Agama Islam Negeri Kedah (MAIK) - yang menaungi JAIK - Datuk Syeikh Uzir Baharom berkata, institusi itu berada bawah bidang kuasa Sultan Kedah dan tidak melibatkan terikat dengan pandangan atau kefahaman parti politik yang memerintah.

"Tidak tepat untuk berkata kita main politik. Apa yang kita buat hanyalah keputusan majlis (MAIK) supaya imam yang sudah melangkau umur 60 dan tidak lagi berminat, lebih baiklah mereka pencen.

"Semua idelogi politik tidak ada kena mengena dengan kita," kata Syeikh Uzir.

Semalam Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah mendakwa, sekumpulan penjawat masjid di negeri itu dipaksa bersara oleh JAIK atas motif-motif politik.

Beliau dilaporkan berkata, pihaknya dimakluman sendiri oleh imam dan bilal terbabit, kumpulan itu diminta mengisi persaraan itu borang M4 yang dikeluarkan JAIK sejak minggu lepas - perkara yang didakwanya tidak pernah berlaku sepanjang pentadbiran BN di Kedah.

Ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, Syeikh Uzir menjelaskan, JAIK tidak memaksa imam-imam yang berumur di negeri itu meletakkan jawatan, sebaliknya hanya memberikan pilihan kepada mereka.

Tambahnya, tindakan itu diambil berdasarkan peruntukan dalam enakmen pentadbiran agama Islam negeri itu - pindaan tahun 2008 - supaya penjawat masjid di Kedah memperbaharui atau menamatkan perkhidmatan mereka ketika melepasi umur 60-an.

Kumpulan tersebut dikehendaki membuat pilihan dan mengisi borang tertentu secara sukarela, tambahnya.

"Mereka yang memilih berhenti, kita berikan mereka sedikit hadiah bagi mengenang perkhidmatan mereka," katanya yang enggan mendedahkan jumlah imam, bilal dan siak yang terlibat, daripada keseluruhan 549 masjid di negeri itu.

Ditanya kenapa jabatan agama tersebut mengambil masa dua tahun untuk melaksanakan undang-undang tersebut, Sheikh Uzir berkata sambil ketawa kecil: "Perlahan-lahanlah."

Sementara itu, Ahmad Bahsah pula ketika dihubungi berkata, beliau masih mengumpulkan bukti-bukti bagi membuktikan dakwaan beliau semalam adalah benar.

"Saya dalam perjalanan pulang daripada Kuala Lumpur (ke Kedah) sekarang. Sampai di sana, saya akan dapatkan lagi maklumat lanjut mengenai perkara ini," katanya kepadaMalaysiakini.

Beliau yang juga ketua Umno bahagian Alor Setar berkata, kenyataannya semalam dibuat berdasarkan pengakuan empat penjawat masjid daripada satu mukim di kawasannya.

Tiada ulasan: